Monday, July 27, 2015

Bagaimana mendidik anak bertudung


Ramai yang bertanya, bagaimana cara sang faqir dan isteri membuatkan Khadijah At Thohirah (2tahun) berhijab iaitu bertudung tanpa rasa kekok dan rimas?
Jawapannya, kami tidak suruh dan tidak ajar, tetapi ianya dari naluri anak kecil ini sendiri, sehinggakan payah untuk berenggang dengan tudungnya, dipakainya sehingga ke tidur, marah jika dicabut, kami pula yang naik risau. Sekarang sudah sibuk dengan berniqab.
Maka, soalan sepatutnya ditanya, bagaimana cara untuk membentuk naluri anak perempuan supaya suka berhijab?
Jawapannya adalah :
1) Contoh. Perlu ada suatu contoh yang membuatkan anak kita sentiasa pandang dan suka, dan contoh tersebut sudah tentulah ibu sendiri.
2) Displin. Pastikan anak tersebut memandang akan kesungguhan kita menjaga dan memelihara aurat. Psikologi anak-anak, mereka akan memerhati dan cuba meniru akan sesuatu perbuatan yang lazimnya kita sentiasa teliti serta jaga.
3) Pujian. Suatu perkara yang perlu kita faham tentang anak. Anak perempuan suka jika dipuji cantik, anak lelaki suka jika dipuji mereka gagah atau kuat. Ibubapa perlu setiap hari memuji anak dengan konteks pujian yang berbeza, supaya menghindar mereka mencari atau meraih pujian dari orang lain terutamanya anak perempuan.
4) Tanpa paksaan. Jika mereka masih belum aqil baligh dan masih kekanak-kanakan, andai ada ketika mereka mencabut atau menanggalkan tudung kerana panas atau gatal atau tidak selesa, jangan pamerkan wajah terkejut atau marah, sebaliknya senyum dan hilangkan ketidakselesaan mereka, seterusnya bertanya kepada mereka masih hendak pakai atau tidak, beserta dengan pujian, jika mereka masih ingin memakainya.
5) Beri kefahaman. Berikan mereka kefahaman dan kesedaran secara hikmah perlahan, sebagai contoh, beza antara gula-gula dengan pembalut yang sempurna dan gula-gula tanpa pembalut yang sempurna, semut akan mudah menghurung gula-gula yang tanpa pembalut dan seterusnya membiarkannya sahaja berbeza yang beserta pembalut sempurna, ianya akan mampu menghindar hurungan semut, andai kata tiada kecacatan pada pembalut tersebut. Berusaha buatkan mereka faham dengan setiap perbuatan mereka lakukan, bukan sekadar ikut-ikutan.
Inilah antara pendekatan yang kami gunakan untuk Puteri kesayangan kami.
Mudah-mudahan menjawab persoalan sekalian yang bertanya.
Wassalaam.
SUMBER: fb Fadillah Nur

No comments:

Post a Comment