Thursday, July 16, 2015

Ukhwah yang di bina kerana RAMADHAN

Bagaimanakah kita dapat membuka pintu ukhuwah di bulan Ramadhan? Apakah ada hikmah dalam persaudaraan dalam bulan Ramadhan yang boleh kita ambil?

Jika sebelum ini kita bermasam muka dengan orang lain, bagaimanakah kita dapat membina hubungan silaturrahim dan ukhuwah sesama kita melalui bulan Ramadhan?
Apakah kita masih ingin terus bermusuh-musuhan di dalam bulan Ramadhan? Apakah kita masih tegar untuk tidak memaafi orang lain?
Maka ambillah peluang ini untuk membina kembali hubungan persaudaraan yang kian lama menyepi dek kerana sombong dan ego.
Bukankah orang mukmin itu bersaudara? Maka apakah penyelesaiaan yang dapat kita lakukan di dalam bulan Ramadhan agar tiada lagi permusuhan, kebenciaan, keegooan dan sebagainya berlaku di dalam diri kita sebagai umat Islam?
Di sini kita akan membincangkan cara bagaimana kita dapat membina dan membuka kembali pintu ukhuwah seperti yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya melalui bulan Ramadhan. Kerana kita tahu mereka yang bermusuh ini kadang-kadang malu untuk bermaafan sesama mereka. Oleh itu, jadikanlah peluang ini untuk membentuk silaturrahim kembali.
MAAFKAN KERANA ALLAH
Segala kesalahan yang telah dibuat oleh orang lain, tidak bolehkah ia dimaafkan atas sebab kerana Allah s.w.t?
Kita solat dan kita baca dua ayat terakhir di dalam surah al-fatihah yang di mana ia menyebut:
Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (Surah al-Faatihah: 6-7)
Siapakah golongan yang Allah murkai? Bukankah salah satu golongan yang Allah murkai ialah orang yang sengaja memutuskan tali persaudaraan? Atau kita menjangkakan dengan memutuskan persaudaraan itu boleh membuatkan Allah redha dan suka?
Sudah pasti tidak. Maka bermaafanlah kerana Allah s.w.t. Jika tidak, ditakuti Allah murka terhadap kita. Bukan sahaja murka di atas kes tersebut, malah keseluruhan hidup kita.
BEBRBUKA PUASA SECARA JAMAI’E
Api permusuhan itu dapat dilenyapkan apabila kita mula makan bersama. Duduk bersama, bersembang dan meluahkan apa-apa permasalahan secara syura iaitu perbincangan secara sihat.
Maka manfaatkanlah saat-saat berbuka puasa dengan menjamu bersama-sama. Nabi dan para sahabat sentiasa makan bersama-sama dalam setiap majlis. Ini sebagai tujuan untuk mengeratkan silaturrahim.
Dan bukankah kita tahu bahawa salah satu mustajabnya doa adalah ketika berbuka puasa? Maka berdoalah ketika itu “ Ya Allah, Engkau hapuskanlah permusuhan di antara kami dan juga umat Islam. Engkau tanamkanlah kasih-sayang di antara kami. Engkau redhailah hubungan kami sesama muslim. Dan janganlah Engkau murkai terhadap kami, kerana kami tidak sanggup menangung azab seksaaan api nerakaMu”
TADARUS AL-QURAN SECARA JAMAI’E
Di bulan Ramadhan ini juga peluang kita untuk membina ukhuwah adalah dengan cara bertadarus al-quran.
Dengan membaca bersama-sama, hati kita akan diikat dengan ayat suci al-Quran. Sejahat mana pun manusia, jika hatinya mula tersentuh dengan ayat-ayat al-quran, maka tiada siapa yang dapat menghalangnya dari berubah dan bertaubat.
Itulah mukjizat al-quran. Jika ia dibaca dengan penuh keyakinan, maka dia mampu memagari hatinya dari sebarang permusuhan dan perkara-perkara negatif.
Oleh itu, binalah ukhuwah dengan bertadarus bersama-sama. Jadikan al-quran sebagai pengikat hati yang bermusuh. Sesungguhnya Al-Quran itu sangat berguna buat orang-orang beriman. Firman Allah s.w.t:
Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna). (Surah al-A’laa, 9)
Banyak lagi penyelesaian yang boleh kita ambil dari bulan Ramadhan. Diharapkan dengan 3 penyelesaiaan ini, ia dapat membuka kembali pintu ukhuwah di kalangan kita, dan melindungi kita dari terjebak kembali dari api permusuhan dan kebenciaan.
Pengajaran yang boleh di ambil:
  1. Jadikan bulan Ramadhan ini adalah bulan rahmat buat kita.
  2. Binalah ukhuwah dalam bulan Ramdhan dan istiqamahkanlah ia selepasnya.
  3. Bermaafanlah kerana Allah, kerana Allah suka kepada hambaNya yang saling bermaafan.
  4. Amalkan berbuka puasa secara Jamie atau bersama-sama kerana padanya hikmah yang sangat besar.
  5. Ambillah manfaat dari majlis tadarus al-quran secara berjemaah. Kerana ia mampu mengikat hati kita dari sebarang permusuhan.
“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”
Wallahualam
Sumber: www.muazfiqwa.blogspot.com

No comments:

Post a Comment